Friday, January 13, 2006

Petisyen Hentikan Diskriminasi!

Tandatangan di Sini | Sign the Petition Here

Petisyen kepada Kerajaan Malaysia

Undang-Undang Keluarga Islam: Hentikan Diskriminasi Terhadap Wanita!

Kami warga Malaysia, lelaki dan wanita yang terdiri dari berbilang agama, amat bimbang terhadap penghakisan hak wanita, terutama wanita Islam, yang terus berlaku di Malaysia.

Pelbagai pindaan kepada undang-undang keluarga Islam dalam dua dekad kebelakangan ini, semakin menggugat kedudukan wanita, terutamanya wanita Islam, dalam rumahtangganya. Syarat-syarat untuk berpoligami, perceraian, pembahagian nafkah dan hadhanah kebanyakannya memihak kepada kaum lelaki dan merugikan kaum perempuan. Malah, pelaksanaan undang-undang dalam proses perundangan Syariah juga berat sebelah kepada pihak lelaki. Banyak laporan akhbar dan aduan yang diterima pertubuhan wanita menunjukkan wanita tidak menerima layanan yang adil dan saksama dari pihak mahkamah Syariah.

Pelulusan Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 oleh Dewan Negara bulan lepas merupakan satu lagi tindakan dalam arus penghakisan hak wanita. Pindaan terbaru ini memberikan pihak lelaki kuasa yang jauh lebih besar dari dahulu untuk berpoligami, untuk menceraikan isteri dan juga untuk membekukan harta isteri untuk menuntut harta sepencarian, manakala peluang pihak wanita untuk menegakkan hak mereka kian luput.

Adalah amat mengecewakan bahawa Malaysia, salah satu tokoh di kalangan negara Islam, telah memilih langkah ke belakang dengan meluluskan pindaan yang memudaratkan kaum perempuan. Ini tentu tidak sejajar dengan arus perubahan di kalangan beberapa negara Islam yang mengorak langkah untuk meminda undang-undang keluarga Islam ke arah kesaksamaan dan keadilan antara lelaki dan wanita. Satu perkembangan terbaru di dunia Islam yang amat dialu-alukan ialah pelulusan pindaan terhadap Moudawana (Kod Status Personal) di Maghribi yang mendukung prinsip keadilan dan kesetaraan antara lelaki dan wanita dalam Islam. Perkembangan seperti inilah yang sepatutnya diteladani oleh negara Malaysia.

Untuk memastikan agar hak wanita, terutama hak wanita Islam, di negara ini tidak terus digugat, malah ditegakkan dan dimajukan, kami menyeru agar Kerajaan Malaysia:

• Tidak mewartakan Rang Undang-Undang ini pada peringkat Wilayah Persekutuan, dan menggantung pelaksanaannya di negeri-negeri yang sudah meluluskannya,
• Menggubal Rang Undang-Undang Keluarga Islam yang baru berdasarkan kepada prinsip keadilan dan kesaksamaan,
• Menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen supaya dapat menjalankan perbicaraan terbuka di seluruh negara untuk mendengar dan memastikan suara rakyat umum akan terlibat dalam penggubalan undang-undang yang mempengaruhi kehidupan seharian mereka,
• Menghormati hak asasi manusia, terutamanya hak wanita Islam dalam rumahtangga, dan mengkaji pentafsiran undang-undang Islam alternatif yang menegakkan kesaksamaan antara lelaki dan wanita dan juga mendukung hak asasi manusia sejagat.


Kami, dengan ikhlas dan tegas, percaya bahawa kesaksamaan antara lelaki dan perempuan patut dinikmati oleh semua rakyat dan pemastautin tetap di Malaysia, tanpa mengira bangsa dan agama. Prinsip in sejajar dengan tuntutan Perlembagaan Persekutuan, Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, Konvensi Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita, yang telah dipersetujui oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1995, dan juga ajaran seluruh agama di dunia.

6 comments:

  1. Anonymous10:04 am

    Is it possible to re-create this petition at petisyen.com ??

    ReplyDelete
  2. Belajar Islam betul-betul jangan mudah melompat!

    ReplyDelete
  3. Anonymous4:30 pm

    yay!!advocate human rights!!!

    ReplyDelete
  4. Anonymous1:25 am

    Islam gived the right human rights to women..
    think 'bout it deeply...

    ReplyDelete
  5. Anonymous4:25 pm

    setau aku, org yg xmau undg2 islam ni menolak al-Quran dan sunnah? xkan pyh sgt nk buat apa yg Allah suruh utk kebaikan kita jgk, dunia akhirat. org yg x menerima apa2 yg diperintahkan Allah, mknanya org tu trlalu ikutkan hawa nafsu dan nak kebebasan melampau.ingtlah, dr-NYA kita dtg, dn kpd-NYA kita kmbali... setahu akulah kan...

    ReplyDelete
  6. Anonymous4:51 pm

    saya seorang wanita MUSLIM dan saya TIDAK PERNAH merasa tertindas dengan ajaran ISLAM...

    ReplyDelete